Fastlenz.TV | PERLUMBAAN DENGAN CUACA
16956
post-template-default,single,single-post,postid-16956,single-format-standard,,qode-news-1.0.4,woocommerce-demo-store,woocommerce-no-js,ajax_fade,page_not_loaded,footer_responsive_adv,hide_top_bar_on_mobile_header,columns-3,qode-theme-ver-16.6,qode-theme-bridge,wpb-js-composer js-comp-ver-5.5.1,vc_responsive
 

PERLUMBAAN DENGAN CUACA

AHM MOTORSPORTS YAMAHA RACING TEAM

MALAYSIAN CUB PRIX CHAMPIONSHIP 2018
PUSINGAN KE 6 – KANGAR, PERLIS.

Seperti mana-mana perlumbaan, faktor mengejar kedudukan, masa dan kemenangan adalah perkara biasa yang dapat dilihat. Namun begitu, bagi pusingan ke 6 ini, oleh kerana rekod cuaca yang menjadi ukuran untuk pusingan kali ini, tampak tidak memberangsangkan, maka setiap sesi yang keluar ke litar perlu dijalankan mengikut waktu dan aturcaranya. Begitu pun, kita hanya mampu merancang, Tuhanlah yang menentukannya. Walaupun hujan telah mula turun sejak tengah hari Sabtu, iaitu ketika permulaan sesi kelayakan bagi kategori WIRA A & B, sesi tersebut diteruskan juga walau dengan keadaan basah dan hujan. Begitu pun, ketika dalam pertengahan sesi WIRA B, terdapat satu kemalangan dan mengakibatkan minyak enjin jentera lumba tersebut melimpah ke atas litar dan menyebabkan lebih ramai lagi pelumba-pelumba lain turut sama kecundang.

Akibat daripada ini, Pegawai-pegawai perlumbaan memutuskan untuk membatalkan semua sesi-sesi lain untuk hari Sabtu ini. Sehubungan dengan itu, hari Ahad (iaitu hari perlumbaan) terpaksa dimulakan dengan sesi kelayakan bagi kategori-kategori yang lain. Setiap sesi harus segera dilakukan untuk membolehkan perlumbaan akhir bermula mengikut jadual siaran langsung televisyen seperti yang dirancangkan. Faktor cuaca juga diambil kira kerana sudah menjadi lazimnya di Kangar untuk seminggu ini, hujan akan mula turun menjelang tengah hari.

Setelah sesi kelayakan yang dijalankan seawal jam 9.30am, Ahmad Fazrul Sham berjaya menempatkan dirinya ditempat ke 7 terpantas setelah berentap dengan para pelumba CP150 yang ternyata memberikan saingan yang sangat sengit. Masa catatan yang hanya membezakan satu saat antara pelumba terpantas dan tempat ke 15, menyaksikan Pelumba pasukan AHM MOTORSPORTS YAMAHA RACING ini menjadi satu-satunya peserta tunggal pasukan yang bakal berjaya memasuki SUPER POLE iaitu satu sesi ujian masa untuk menentukan petak permulaan pertama sehingga ke 10 paling hadapan bagi pusingan ke 6 ini.

Sebaik sahaja selesai sesi SUPER POLE, Ahmad Fazrul Sham (#11) berjaya menempatkan dirinya dipetak permulaan ke 5 dengan catatan masanya 41.280saat dibelakang untuk perlumbaan akhir nanti. Ini juga bermakna Fazrul Sham akan bermula daripada barisan ke 2 dari hadapan dan mempunyai harapan cerah untuk menjadi pemenang podium. Sementara itu, Md Iqbal Amri Malek (#7) bakal bermula di petak ke 13 diperingkat akhir sebentar nanti dan Md Rozaiman Md Said (#99) bakal bermula di petak ke 21.

Permulaan perlumbaan akhir CP150 Pusingan ke 6 ini memberi sedikit sinar harapan apabila Fazrul mengekalkan rentak penunggangan di tempat ke 4 di belakang 3 pelumba tajaan PETRONAS iaitu daripada Pasukan Maju Motor dan CKJ. Fazrul berusaha keras cuba mengekalkan kedudukannya di tempat ke 4 dan mengharapkan 3 pelumba di hadapan mengalami permasalahan teknikal atau kecundang, namun ianya tidak menjadi kenyataan. Setelah Lap ke 5, mula ternampak akan jentera Fazrul tidak cukup berkuasa untuk mengekang pelumba-pelumba dibelakangnya. terutama daripada serangan Pelumba YY Pang dan seorang lagi pelumba Petronas CKJ. Serangan demi serangan dilakukan,sehinggalah satu serangan di selekoh oleh pelumba YY Pang sehinggakan kedua-dua Fazrul dan Pelumba YY Pang tersebut terkandas di selekoh. Ini terus menjadikan posisi Ahmad Fazrul dalam keadaan terkebelakang di tempat ke 11. Sekali lagi beliau diserang oleh jentera-jentera lain dan Fazrul terus tenggelam dan terus tidak berada pada kelompok 10 teratas.

Dalam pada itu, Md Rozaiman Md Said (#99), bertindak untuk menyelamatkan posisi pasukan dan berusaha keras untuk mengekalkan kedudukan pelumba pasukan di tempat ke 10 teratas. Akhirnya, selepas lap 20, perlumbaan dikibarkan bendera penamat dan Rozaiman berjaya beroleh mata berharga untuk pasukan dengan menamatkan perlumbaan di tempat ke 10 sementara Iqbal hanya berupaya melintas garisan penamat di tempat ke 13. Malang buat Fazrul Sham, beliau bukan sahaja mengalami kemerosotan kuasa enjin, malah tuil penukar gearnya juga rosak akibat terlanggar bonggol di tepi litar. Akibatnya, Fazrul menamatkan perlumbaan di tempat ke 18 daripada 22 pelumba yang menghabiskan perlumbaan.

KESIMPULAN
Agak sukar untuk berdepan dengan pasukan yang jauh mempunyai bajet besar, namun begitu, pasukan masih mencari set up yang terbaik untuk mendapatkan prestasi yang positif untuk SEMUA pelumba pasukan. Walau kejohanan kini telah melepasi had separuh musim, pasukan masih lagi tidak berputus asa untuk terus memberikan saingan dalam kategori premier Kejohanan Perlumbaan Motosikal paling berprestij dalam tanah air ini. Mengharapkan sesuatu yang positif untuk pusingan ke 7 di Litar Kuala Terengganu dalam tempoh 2 minggu lagi.

About the Author /

norick@fastlenz.tv

Berpengalaman 21 tahun dalam industri motosikal tempatan. Bekas editor pada majalah-majalah tempatan dan antarabangsa seperti MOTOSIKAL, DUNIA MOTO, dan yang terakhir adalah CYCLE WORLD MALAYSIA. Media Officer untuk pasukan lumba AHM MOTORSPORTS YAMAHA RACING, disamping pengalaman-pengalaman beliau yang membabitkan diri dengan pasukan lumba seperti PETRONAS SPRINTA TVK, ELF PRO M TECH DUNLOP RACING, AFY KAWASAKI RACING, dan beberapa lagi.

Post a Comment

Fastlenz.TV Official Online Store Dismiss